Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 2 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berhasrat melahirkan lebih ramai Pegawai Integriti Bertauliah atau Certified Integrity Officer (CeIO) bagi memastikan Unit Integriti di setiap jabatan serta agensi Kerajaan Negeri ditadbir urus oleh pegawai yang benar-benar kompeten dan bertauliah.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, sehingga kini, terdapat enam Pegawai Integriti Bertauliah di sektor awam dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri ini yang masih dalam tempoh sah laku tauliah.
Katanya, manakala pegawai yang telah tamat tempoh disarankan segera membuat permohonan lanjutan atau pembaharuan sijil kepada Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

“Kerajaan Negeri Pahang berhasrat melahirkan lebih ramai CeIO di masa hadapan bagi memastikan Unit Integriti di tadbir urus oleh pegawai yang kompeten dan bertauliah. Tahniah dan syabas kepada CeIO yang telah ditauliahkan,” ketika menyampaikan ucapan mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa peringkat Negeri Pahang 2025 yang diadakan di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah SPRM Pahang, KPKPj Mohd Shukor Mahmud; YB. Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB. Dato’ Sabariah Saidan; serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, YB. Puan Leong Yu Man bersama barisan ketua-ketua jabatan.
YB. Dato’ Sri Nazri turut memaklumkan bahawa Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang telah melaksanakan sebanyak 15 program pengukuhan integriti sepanjang tahun 2025, termasuk majlis sambutan yang berlangsung hari ini.

“Antaranya termasuk Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, Bicara Integriti, Kursus Tatatertib, serta program yang melibatkan masyarakat seperti Larian Integriti Pahang 2025.
“Usaha ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan pentadbiran yang cekap, telus dan bebas daripada unsur salah guna kuasa,” katanya lagi.
Katanya lagi, rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap pentadbiran kerajaan, maka menjadi kewajipan penjawat awam memastikan tiada ruang untuk amalan rasuah, ketirisan atau penyelewengan berlaku dalam sistem penyampaian.
“Tidak cukup dengan itu, kita juga perlu memperkukuhkan pendidikan antirasuah, bukan hanya dalam sektor awam tetapi juga dalam sektor swasta dan institusi pendidikan.
“Kita mahu budaya kerja bersih dan telus menjadi norma di setiap jabatan, agensi dan GLC. Pahang mesti menjadi contoh integriti yang dihormati di peringkat nasional,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

