Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 1 DISEMBER 2025 : Graduan masa kini diingatkan untuk sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dunia masa kini disamping perlu sentiasa peka untuk mempelajari ilmu baharu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang menuntut graduan untuk sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan ilmu yang kita ada ataupun kita rasa apa yang telah dipelajari di kampus telah mencukupi, tidak. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang perlu kita terokai kerana kita sedia maklum bahawa a keadaan begitu pantas berubah.
“Macam sekarang ni siapa sangka sekarang ini zaman AI (kecerdasan buatan) kan? Dulu tidak ada AI. Sebelum itu komputer dan kita tengok perubahan komputer pun begitu cepat sekali. Kadang-kadang kita tidak terkejar. Maknanya kita kena peka, kena bersedia untuk menghadapi ilmu-ilmu baru supaya kita boleh terus maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen 2025 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sijil kepada graduan bagi sesi pertama dari dua sesi melibatkan keseluruhan seramai 623 graduan ijazah, diploma, sarjana dan doktor falsafah termasuk penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan kepada Dato’ Sri Dr. Md. Sharif Shamsuddin.
Hadir sama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; serta barisan pengurusan tertinggi UCYP.

Sebagai Pro-Canselor UCYP, YAB. Menteri Besar memuji usaha graduan yang berjaya menamatkan pengajian selain turut berbangga dengan tahap kebolehpasaran mahasiswa UCYP University yang sentiasa mendapat tempat di sayarikat-syarikat swasta.
“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan saya harap mereka terus menunjukkan keupayaan, kebijaksanaan, kecerdikan mereka dan biarlah majikan sangat yakin bahawa lepasan UCYP ini memang mampu daya saing dan memang tidak mengecewakan majikan.
“Dan kita mahu apabila disebut graduan daripada UCYP ini banyak syarikat yang ingin mengambil mereka. Jenama tu penting,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

