Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2025 : Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menjadi Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama di Malaysia yang menyediakan pusat peperiksaan bagi calon persendirian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2025.
Menurut Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, YBrs. Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa, UnIPSAS menyediakan kapasiti sebanyak 200 untuk pusat peperiksaan calon persendirian SPM.
“Pusat calon persendirian ini menyediakan kapasitinya 200, setakat ini untuk yang berdaftar kita sudah ada 118 orang calon persendirian dan calon-calon persendirian ini berlaku peningkatan kerana ramai juga calon yang dari kakitangan awam.
“Kita ada dua calon persendirian. Pertama adalah calon yang membaiki sijil sama ada mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris dan ada juga calon daripada pondok dan Tahfiz yang ambil penuh (SPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan, hari ini.
Tambahnya, pusat peperiksaan calon persendirian SPM ini perlu melalui proses sebelum ianya diluluskan.
“Dia (UnIPSAS) sudah mohon 3 tahun lepas cuma kita ada proses pendaftaran pusat persendirian. Jadi, alhamdulillah proses itu tahun ini diluluskan oleh Lembaga Pemeriksaan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadi pusat persendirian.
“….sebab nak jadi ini mereka (Lembaga Pemeriksaan Pendidikan Malaysia) perlu datang, access, tengok kemudahan, persekitaran dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kerjasama antara ini dapat ruang kepada UniPSAS menawarkan pelajar untuk menyambung pelajaran.
“Ianya penting sebenarnya untuk Universiti sokong sistem pendidikan. Jadi keperluan untuk kita bekerjasama dengan Universiti supaya pelajar tahu ada ruang dan peluang bagi mereka untuk menyambung pelajaran.
“…dan ini bonus bagi UnIPSAS melibatkan komuniti dalam hal ini dan itu salah satu CSR (Corporate Social Responsibility) yang samgat penting dan bermaknalah bagi bidang pendidikan ini. -PAHANGMEDIA

