Oleh : Aisyah Abdul Manan
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 6 NOVEMBER 2025 : Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima insentif khas daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM10,000 berikutan mencatatkan peratus indeks kebahagiaan tertinggi tahun ini.
Empat PBT tersebut ialah Majlis Daerah Cameron Highlands, Majlis Daerah Lipis, Majlis Daerah Jerantut dan Majlis Perbandaran Temerloh, yang berjaya disenaraikan dalam kelompok teratas daripada 153 PBT seluruh negara.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pemberian insentif itu sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap komitmen dan usaha gigih PBT dalam memastikan kualiti hidup rakyat sentiasa ditingkatkan.
“Dan kita harus ingat, daripada 153 PBT, kita dapat empat (tersenarai). Itulah sebabnya kita menghargai. Macam mana hari ini kita bagi RM10,000 kepada mereka sebagai tanda kita menghargai.
“Kerana untuk mencapai kejayaan ini bukan mudah. Kena ada usaha yang sungguh-sungguh, komitmen, disiplin, fokus,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2025, di sini hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu turut menyumbang kepada pencapaian Pahang sebagai negeri kedua paling bahagia negara bagi tahun ini.
“Satu angka yang boleh kita banggakanlah. Dan kita tidak berpuas hati setakat itu. Kita akan akan cuba untuk mendapat lebih lagi daripada empat di tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya.

“Kita bersyukur kerana Pahang menduduki tempat kedua sebagai negeri paling bahagia di Malaysia, harapan saya agar kedudukan ini dapat dikekalkan, malah kalau boleh kita naik ke tempat pertama tahun hadapan,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB. Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perancangan Bandar dan Desa PLANMalaysia, TPr Saidin Lateh; Pengarah PLANMalaysia Pahang, YH. Dato’ TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang. -PAHANGMEDIA

