Oleh: Norhafizan Zulkifli & Aisyah Abdul Manan
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 6 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada PLANMalaysia Pahang bagi menganjurkan anugerah kampung paling bahagia negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan akan disertakan dalam Bajet Negeri Pahang tahun hadapan.

Katanya, anugerah itu merupakan inisiatif julung kali anjuran Kerajaan Negeri itu dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Tambahnya, ianya sebagai lanjutan daripada negeri ini yang telah dinobatkan sebagai negeri kedua paling bahagia dengan empat bandar iaitu Temerloh, Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut dinobatkan empat bandar paling bahagia daripada 153 bandar seluruh negara.

“Dan kita perluaskan lagi ke kampung-kampung. Kita akan cari tiga kampung untuk dinobatkan sebagai kampung paling paling bahagia ataupun dengan nama lain (yang akan dibincangkan kemudian).
“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk peruntukkan sebanyak RM200,000 bagi kerja tersebut. Ini sebenarnya memberi peluang kepada rakyat di Negeri Pahang ini untuk sama-sama melibatkan diri untuk membangunkan negeri kita, daerah kita, dan kampung kita. InsyaAllah,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Turut hadir, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia, TPr Saidin Lateh; Pengarah PLANMalaysia Pahang, Dato’ TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB Dato’ Sabariah Saidan; serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, YB Tuan Sim Chon Siang.
Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar turut menyampaikan insentif khas RM10,000 kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang yang berjaya mencatatkan peratus indeks kebahagiaan tertinggi tahun ini.-PAHANGMEDIA

