Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 OKTOBER 2025 : Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025 disifatkan sebagai satu penghormatan kepada kanak-kanak dan ruang mendidik masyarakat tentang tanggungjawab dalam melindungi mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, penganjuran acara ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, disamping itu memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

“Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut sebagai penghormatan dan pengiktirafan masyarakat terhadap kanak-kanak untuk menyedarkan setiap golongan masyarakat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk memelihara hak dan masa depan kanak-kanak serta memberikan pelindungan dan menjaga kebajikan kanak-kanak agar sentiasa terpelihara.
“Saya amat mengalu-alukan program sebegini yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Pelabuhan. Ini selaras dengan peranan perpustakaan sebagai pusat pengumpulan ilmu yang mana bahan bacaan dan maklumat bukan sahaja diperolehi di perpustakaan, malah ilmu dan maklumat juga boleh diperolehi melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak perpustakaan.
“Membaca seawal usia juga sangat penting kerana dengan membaca kita dapat memperkayakan maklumat, memantapkan fikiran dan mendewasakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025 di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan, hari ini.
Tambah beliau, kehadiran Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dengan menyediakan van perpustakaan bergerak dapat memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati bahan bacaan yang disediakan.
“Perpustakaan datang dengan bermacam-macam aktiviti dan seperti kita lihat mereka bawakan van perpustakaan bergerak. Kita bawakan buku-buku untuk pelajar-pelajar disini.
“Salah satu sokongan Kerajaan Negeri Pahang untuk memupuk minat membaca bagi kanak-kanak kita mengadakan Pesta Buku setiap tahun dan pada tahun ini diadakan di Berjaya Megamall Kuantan.

“Selain itu, perpustakaan sekarang ni tidak seperti dahalu dan sangat meriah. Perpustakaan sekarang bukan sahaja tempat belajar malah tempat yang mempunyai bermacam-macam aktiviti yang interaktif untuk semua terutama kanak-kanak berkembang. Jadi kalau kita pergi perpustakaan ada banyak buku-buku dan aktiviti kita sediakan dan saya menyeru untuk pelajar-pelajar datang ke perpustakaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berpesan kepada generasi muda agar menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya yang perlu dipupuk diawal usia.
“Kepada anak-anak sekalian jadikan membaca itu satu budaya. Walaupun kita sekarang ada media sosial tapi membaca secara fizikal itu sebenarnya masih lagi penting. Kalau kita membaca kita banyak ilmu dan banyak idea-idea boleh diketengahkan melalui membaca,” katanya. -PAHANGMEDIA

