Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 12 OKTOBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat bercemar duli ke Dataran Orang Kaya Haji, di sini, bagi menyempurnakan Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP), hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Sementara itu, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan terhadap usaha penubuhan MRP yang disifatkan sebagai satu inisiatif mencabar namun berperanan besar dalam menjadimata dan telinga pihak berkuasa bagi memastikan khazanah alam dipelihara sebaik mungkin untuk diwarisi oleh generasi seterunya.
“Saya anggap (penubuhan MRP) satu cadangan yang agak mencabar kerana ini melibatkan banyak risiko dalam kita menghadapi cabaran-cabaran memanjat bukit dan sebagainya.
“Namun apa yang saya dapat maklum dan juga dapat tengok dalam TikTok begitu sungguh dan begitu hebat sekali pasukan Yang Berhormat (YB Tuan Fadzli) dan juga para pasukan tim telah membuktikan keupayaan dan kesungguhan mereka untuk menaiki Gunung Tahan yang baru-baru ini,” Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenanan menyampaikan titah dalam majlis berkenaan.

Menyentuh tentang program yang dijalankan MRP, Paduka Baginda turut menyeru agar generasi muda negeri ini menanam kesedaran terhadap kepentingan memelihara khazanah alam sekitar, yang disifatkan sebagai amanah untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
“Hari ini saya nak sebut dua tiga perkara berkaitan dengan khazanah secara lebih luas. Pertama alam sekitar tadi dan khazanah sungai kita. Ini juga harus menjadi satu aset, satu harta kepada kita semua.
“Dan kita juga harus memelihara sungai-sungai kita baik Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Semantan, Sungai mana lagi? Sungai Endau dan sebagainya. Dan kalau kita tidak memelihara, mungkin sungai-sungai ini akan dijadikan sungai yang bertoksik dan kotor dan sebagainya,” titah baginda.

Baginda turut menyentuh isu kebersihan kawasan air terjun yang menjadi tarikan pelancongan negeri selain perlu dijadikan satu aset atau harta kepada khazanah negeri ini.
“Dan kalau boleh kenal pastikan yang mana air terjun yang boleh dipelihara sebaik mungkin dan harus beri tumpuan. Kalau pun kerajaan tidak dapat bagi kepada semua, mungkin di sinilah kita boleh menjemput membuat kolaborasi dengan NGO (badan bukan kerajaan) ataupun syarikat-syarikat.
“Tetapi inisiatifnya mestilah dilaku oleh pihak kerajaan. Kalau tidak mereka tidak akan ambil peduli. ‘So’ saya harap ini dapat kita tumpukan pada anak-anak muda kita ini,” titah Paduka Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

