Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 12 OKTOBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar keutamaan diberikan kepada usaha memelihara bangunan lama selain memartabatkan seni budaya dan menghidupkan semula sukan rakyat di negeri ini.
Paduka Baginda menzahirkan harapan agar penjagaan bangunan-bangunan lama diberi perhatian sewajarnya kerana struktur bersejarah itu bukan sahaja tahan lama, malah mempunyai nilai warisan yang tinggi.
“Saya juga hendak memberi pandangan supaya kita juga beri keutamaan kepada soal-soal penjagaan bangunan-bangunan lama. Kerana bangunan lama inilah sudah terbukti boleh bertahan lama.
“Dan kita juga mempunyai bangunan yang cantik di Lipis ini. Pejabat Daerah… ini perlu kita utamakan menjadi satu tarikan. Bukan hanya untuk pegawai-pegawai daerah atau warga daerah duduk situ mungkin adakan satu ‘value add’, tambah nilai pada bangunan tersebut dan sebagainya,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Dataran Orang Kaya Haji, di sini, bagi menyempurnakan Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, Baginda turut menekankan kepentingan mengekalkan seni budaya Melayu seperti pemakaian baju Melayu, tanjak, batik dan tenun, khususnya dalam acara-acara rasmi serta majlis perkahwinan.
“Kalau boleh saya menyarankan kalau ada acara perkahwinan orang Melayu, pakailah baju Melayu. Jangan berasa malu nak pakai baju Melayu kerana kalau kita tak menegakkan pakai baju Melayu, siapa pula lagi?
“Jadi saya akan memberi keutamaan dalam acara saya di istana supaya kita adakan pakaian tanjak dan baju Melayu. Saya harap Kerajaan Negeri pun sama” titah Paduka Baginda lagi.
Dalam titah yang sama, Paduka Baginda turut menyarankan agar sukan rakyat dihidupkan semula sebagai wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Saya tertarik masa saya muda-muda dulu kita sentiasa ada sukan rakyat. Sukan rakyat baik di kampung, di bandar, di sekolah perlu kita hidupkan semula. Ingin saya cadangkan walaupun kita ada SUKMA setiap dwi tahun, kita boleh adakan juga sukan rakyat dwi tahun yang menghidupkan semula semua sukan-sukan rakyat.
“Mungkin kita adakan setiap daerah, mewakili setiap daerah, supaya ini dapat kita menyatukan kaum-kaum muda dan ibu bapa beriadah sekali. Dan bukanlah kita nak hebat-hebat macam Olimpik tetapi sekurang-kurangnya kita hidupkan semula dan dapat menyatukan semula kaum-kaum keluarga kita yang jauh dan dekat dan sebagainya,” titah baginda -PAHANGMEDIA

