KUANTAN, 12 OKTOBER 2025 : Peserta larian santai Fun Run : Recycled Headpiece Hero 2025 teruja apabila menyaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyertai larian santai sejauh lima kilometer di KotaSAS, di sini semalam.
Semua 845 peserta larian santai anjuran Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang itu hanya menyangka keberangkatan Paduka Baginda untuk menyempurnakan acara ‘flag-off’ namun sebaliknya apabila Paduka Baginda turut menyertainya.

Keberangkatan Paduka Baginda yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang diiringi oleh YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri, Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz yang juga selaku Timbalan Yang Dipertua.

Turut mengiring ialah YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan paduka-paduka cucunda.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza bin Zulkipli dan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, YBrs. Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa.- PAHANGMEDIA

