Oleh: Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 11 OKTOBER 2025 : Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) nyata membawa kelegaan kepada pasangan pengantin muda apabila dapat melangsungkan perkahwinan dengan kos yang jauh lebih rendah.
Pengantin, Siti Noratikah Muhammad Abu Bakar, 27, dan pasangannya Muhammad Shahrul Borhan, 30, berkata, program ini membolehkan mereka berjimat besar berbanding menganjurkan majlis secara persendirian.

“Saya pilih inisiatif untuk join program ni sebab bajetlah. Bajet yang murah.Jadi kami ‘join’lah. Kalau kahwin biasa mungkin memang perlu modal yang besar.
“Jadi ini lebih jimat. Dan semua ditaja. (Wang selebihnya) simpanlah untuk masa depan.
“Terima kasih Tok Wan. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana membuat program ini untuk kami semua pasangan,” katanya ketika ditemui selepas selesai program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) Tahun 2025 Parlimen Cameron Highlands bertempat di Laman Sejahtera Koyan, di sini hari ini.

Pasangan Nurfatihah Ibrahim, 31, dan Muhammad Akid Amir, 32, pula berkata, inisiatif tersebut amat membantu pasangan berpendapatan rendah untuk mendirikan rumah tangga tanpa perlu memikirkan kos tinggi.
“Sebab ini satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan B40 untuk melangsungkan perkahwinan. Dapat meringankan beban pasangan, memudahkan kami untuk membina rumah tangga.
“Sangat memudahkan urusan kami. Bukan setakat kami sahaja, 10 pasangan yang lainlah. Terima kasih Tok Wan sebab memudahkan kami untuk mendirikan rumah tangga,” ujarnya.
Sementara itu, pasangan muda Nur Aisyah Hamizul, 24, dan Zarul Zakwan Johari, 24, berkata peningkatan kos sara hidup kini menyebabkan ramai pasangan menangguhkan perkahwinan, namun program seperti ini memberi sinar baharu.

“Sebab kalau kahwin dekat luar kita dah habis sebanyak ribu (ringgit). Jadi sini banyak yang ditanggung, jimatlah kahwin sini sebab sekarang kos sara hidup tinggi.
“Terima kasih Kerajaan Negeri sebab banyak sponsor, bantu dalam majlis ini. Terima kasih Tok Wan,” kata pasangan itu.
Seramai 10 pasangan diraikan dalam majlis yang berlangsung di Laman Sejahtera Sungai Koyan hari ini, yang turut dihadiri YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, ketua-ketua jabatan dan barisan pimpinan setempat.
Melalui inisiatif ini, semua perbelanjaan utama perkahwinan seperti sewaan dewan dan pelamin, makan beradab, jamuan untuk 100 tetamu, persembahan serta buah tangan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

