KUANTAN, 2 OKTOBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Wasco Forest Fasa Kedua di Mangala Estate Boutique Resort, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua disambut YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Yayasan Wasco, Dato’ Mohamed Nizam Abdul Razak.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berdua turur berkenan menyempurnakan gimik perasmian termasuk menyiram pokok pertama dalam satu juta yang akan ditanam seiring sasaran Wasco.
Fasa Kedua ini merupakan inisiatif penghijauan unggul melalui program Wasco Forest yang diperluas kepasa kawasan seluas 670 hektar, berasaskan 160,000 pokok yang telah ditanam di bawah Fasa Satu sekaligus memperkukuh strategi ESG (Environmental, Social and Governance) jangka panjang.
Inisiatif ini dipandu oleh kepakaran saintifik dan disokong oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang memastikan kombinasi spesis dan amalan silvikultur yang tepat dilaksanakan bagi memulihkan biodiversiti serta memperkukuh ekosistem.
Fasa Kedua ini dibangunkan berasaskan kejayaan Wasco Forest Fasa 1 yang dilancarkan pada 2021, melibatkan penanaman 160,000 pokok di kawasan 100 hektar dengan kadar kelangsungan hidup 87 peratus.
Fasa kedua ini turut memberi tumpuan kepada pemulihan hutan sekunder dengan menggabungkan spesies pantas tumbuh seperti Kelampayan bersama spesies kayu keras termasuk Merawan dan Meranti. -PAHANGMEDIA