Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 03 OKTOBER 2025 : Seramai 700 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya hari ini menerima bantuan tunai sebanyak RM400 seorang melalui Inisiatif Makmur Pahang (I.M. Pahang) Kluster Siswa 2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8 juta tahun ini di bawah I.M. Pahang untuk dimanfaatkan hampir 20,000 mahasiswa Pahang.
“Bagi tahun 2025, Inisiatif Makmur Pahang memperuntukkan jumlah yang tinggi iaitu RM8 juta bagi bantuan secara one-off sebanyak RM400 kepada pelajar IPT. Pagi ini di Peramu Jaya kita akan menyampaikan kepada 700 orang pelajar dan bantuan ini akan memberi manfaaf kepada sekitar 20,000 mahasiswa Pahang ini.
“Sejak tahun 2022 lagi dan sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Prihatin Pahang kini telah dinamakan semula sebagai Inisiatif Makmur Pahang.
“Sejak tahun 2022 jumlah keseluruhan peruntukan mencecah sekitar RM26 juta dan seramai hampir 42,000 pelajar telah menikmati bantuan tersebut dan tahun demi tahun, nilai bantuan ini meningkat dari tahun 2022 kerajaan bagi RM200, naikkan lagi dengan RM300 dan tahun ini dinaikkan sekali lagi kepada jumlah RM400,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 di Convention Hall Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Tambahnya, kejayaan melaksanakan inisiatif tersebut adalah hasil pengurusan kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh, selain keuntungan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (SGLC) yang secara keseluruhannya mencecah hampir RM300 juta.
“Di Negeri Pahang ini kita mempunyai kepimpinan yang baik, seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan yang penting sekali bijak mencari sumber kewangan dan pandai menguruskan sumber kewangan.
“Baru-baru ini saya baru balik daripada pemukiman Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (SGLC), rata-ratanya mencatat keuntungan yang tinggi dan apabila ada keuntungan yang tinggi, mereka dapat salurkan semula kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Melalui keuntungan dan peningkatan hasil cukai kita dapat salurkan semula kepada golongan yang memerlukan seperti adik-adik mahasiswa kita,” ujarnya. -PAHANGMEDIA