Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 02 OKTOBER 2025 : Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 dilaksanakan atas hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bagi meneliti serta menambah baik kemudahan di taman negara berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Paduka Baginda bertitah demikian memandangkan Taman Negara Merapoh memiliki potensi besar untuk dibangunkan.
“Ekspedisi ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Rekreasi Pahang (MRP) dan hasratnya seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bahawa ekspedisi ini untuk kita memberi cadangan, penambahbaikan kemudahan di sepanjang trek dari Gunung Tahan ini.
“Yang paling penting kita tengok keperluan yang utamanya pembinaan tapak perkhemahan, mungkin dari segi penempatan kabin-kabin, pembinaan jambatan gantung, pembinaan tandas atau kemudahan lain sehinggalah kepada soal keselamatan dari segi papan tanda atau penunjuk arah. Kita akan tengok keseluruhan.
“Kalau kita tengok, Gunung Tahan ini memiliki potensi besar, sayang kalau kita tak bangunkan sepenuhnya dan itulah hasrat daripada Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025,” katanya.
Tambah beliau, selain daripada kemudahan penginapan dan keselamatan, pihaknya turut meninjau capaian komunikasi di laluan sejauh 87 kilometer berkenaan.
“Dalam ekspedisi ini perkara tersebut (capaian internet dan komunikasi) juga akan diambil kira. So mungkin kemudahan repeater dan sebagainya.
“Saya selaku exco bertanggungjawab dalam komunikasi dan multimedia akan mengemukakan cadangan ini kepada pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia),” katanya.
Tambah beliau, hasil penelitian ekspedisi gunung berketinggian 2,187 meter yang dijangka berakhir pada 8 atau 9 Oktober ini akan dipersembahkan kepada Paduka Baginda bagi tindakan seterusnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelepasan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 melibatkan 54 peserta mewakili 20 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Taman Negara Pahang, Sungai Relau. -PAHANGMEDIA