Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 2 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyatakan solidariti penuh terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera rejim Israel ketika dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan medianya hari ini menzahirkan rasa dukacita dan keprihatinan mendalam terhadap insiden berkenaan.
Katanya, tindakan rejim Israel menahan sukarelawan yang hadir dengan niat murni untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin jelas merupakan satu kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia.
“Tindakan rejim Israel ini jelas merupakan satu kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia, apatah lagi terhadap mereka yang hadir dengan niat murni untuk membantu insan yang sedang sengsara.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya menyatakan solidariti penuh terhadap semua sukarelawan yang ditahan. Kerajaan Negeri juga berdoa agar mereka selamat, dilindungi daripada sebarang bahaya, serta segera dibebaskan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang berdiri seiring dengan Kerajaan Persekutuan dalam menuntut pembebasan segera sukarelawan Global Sumud Flotilla tanpa sebarang syarat.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan sokongan rakyat Pahang untuk turut sama menyertai Himpunan Sumud Flotilla yang akan diadakan pada Jumaat ini (3 Oktober 2025) di perkarangan parkir Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan selepas solat Jumaat.
“Sesungguhnya, rakyat Pahang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut kebebasan dan maruah, serta menyokong sebarang usaha kemanusiaan demi keamanan yang berkekalan di bumi Palestin,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

