Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 01 OKTOBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang anjuran AmanahRaya Berhad melalui Yayasan AmanahRaya bertempat di Rumah Rakit Maraie, Kampung Padang Rumbia, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Berhad, Tuan Ahmad Feizal Sulaiman dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Pada majlis tersebut, Yayasan AmanahRaya mengagihkan lebih RM400,000 bagi membantu komuniti setempat menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Antara inisiatif tersebut termasuk pemberian bot fiberglass, enjin sangkut dan kelengkapan menangkap ikan kepada 30 nelayan asnaf dari daerah Kuantan, Pekan dan Rompin bagi meningkatkan sumber pendapatan secara mampan.
Seorang nelayan dari Kampung Cherok Paloh, Kuantan yang terjejas akibat kebakaran turut menerima bantuan tunai bagi menggantikan peralatan menangkap ikan yang musnah.
Selain itu, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima sumbangan zakat berjumlah RM100,000 untuk Tabung Kebajikan dan Kecemerlangan Pelajar dalam usaha menyokong pelajar asnaf menampung kos sara hidup dan pengajian.
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga menyampaikan bantuan bernilai RM50,000 kepada 50 asnaf terpilih dalam bentuk wang tunai dan barangan asas harian.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Paduka Baginda melepaskan sebanyak 150,300 benih ikan pelbagai spesies ke Sungai Pahang termasuk udang galah, lampam sungai, patin buah, baung dan terbul.-PAHANGMEDIA