KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap kunjungan Duta Besar Jepun ke Malaysia Tuan Yang Terutama (TYT) Shikata Noriyuki di Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengiring sama ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar.
Kunjungan berkenaan membuka hala tuju dan usaha bagi memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Jepun di samping merintis peluang kerjasama strategik yang berupaya memberi manfaat besar kepada rakyat serta mempercepatkan pembangunan negeri Pahang yang dicintai ini.
Sebelum kunjungan tersebut, Paduka Baginda berkenan menerima mengadap YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena mesyuarat Pra-Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Paduka Baginda juga berkenan menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Haji Saiful Azlan bin Haji Shariff bagi membincangkan pelbagai perkara terutama berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat. -PAHANGMEDIA