Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 23 SEPTEMBER 2025 : Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor dalam usaha pemuliharaan hutan negara apabila berjaya mencatat Malaysia Book of Records (MBOR) melalui program penanaman hutan paya gambut terbesar di negara ini.
Sebanyak 20,000 pokok hutan paya gambut ditanam di Hutan Simpan Pekan sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dataran Pekan Bandar Diraja, hari ini.
Dalam masa sama sasaran penanaman 100 juta pokok di Malaysia bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021 – 2025 juga telah berjaya dicapai lebih awal iaitu pada 10 Disember 2024 yang mana penanaman pokok yang ke 100 juta telah dijayakan oleh YAB Perdana Menteri bertempat di Putrajaya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam melestarikan khazanah alam semula jadi.
“Ini adalah satu kejayaan yang sangat besar dan bukti bahawa Pahang terus kekal sebagai pelopor dalam penanaman hutan di Malaysia.
“Dan kita semua sedia tahu bahawa 57.7 peratus keseluruhan hutan negeri ini adalah kawasan perhutanan. Lebih kurang 2.057 juta hektar adalah kawasan hutan,” katanya.
Majlis turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan barisan ketua-ketua jabatan.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, khususnya Pengarahnya, Tuan Zainuddin Jamaluddin serta Janatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang telah melaksanakan tugas dengan baik.
Apabila ditanya tentang penambahan sasaran tanaman pokok pada masa akan datang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, perkara tersebut akan dibincangkan nanti.
“Sasaran baru saya akan bincangkan. Of course (sudah tentu) kita tidak boleh kekal dengan yang lama.
“Kita mesti tambah baik lagi dan pastinya ada sasaran baru yang akan diumumkan nanti oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Kita tak boleh kekal dengan sasaran yang lama,” ujarnya.
Sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini membawa tema “Forests and Foods” atau “Hutan dan Makanan”, yang menekankan kepentingan hutan sebagai sumber nutrisi, penampan ekologi serta penentu keterjaminan makanan negara.-PAHANGMEDIA