Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2025: Penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa syukur terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri dengan bantuan yang diberikan kepada mereka.
Menurut Encik Ahmad Rafil, 41, sumbangan yang diterimanya sebanyak RM10,000 dapat merealisasikan Kejohanan Ragbi peringkat sekolah anjuran Oldbloke Rugby Club Kuantan.

“Kami sangat berterima kasih dengan bantuan ini sebab tanpa bantuan ini pertandingan yang kita rancang itu tidak boleh berjalan. Sebanyak 12 pasukan daripada sekolah-sekolah di Pahang, lebih kurang 300 orang yang terlibat pada pertandingan yang kita buat baru-baru ini di SEMSAS (Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah).
“Kami dari Oldbloke Rugby Club berterima kasih banyak kepada Tokwan (YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) dan Kerajaan Negeri Pahang kerana banyak membantu aktiviti dan membantu kami melaksanakan pertandingan yang telah dirancang, kami sangat menghargai bantuan yang telah diberikan,” katanya.

Sementara itu, Puan Rosnah Othman, 67, melahirkan rasa syukur kerana bantuan yang diterima dapat menampung kos rawatan anaknya yang kemalangan pada Mei lalu.
“Saya hari ini berasa sangat gembira sebab saya mendapat sumbangan daripada Menteri Besar bagi tujuan untuk membantu membiayai rawatan anak saya.
“Alhamdulilah dan terima kasih banyak banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang, sumbangan ini dapat membantu anak saya. Saya sangat gembira sebab dalam keadaan saya seorang pesara, wang sebanyak ini memang sangat membantu,” katanya.

Manakala Encik Saadon Abd. Majid, 65, menyatakan rasa syukur kerana sumbangan yang diterima dapat membantu beliau menampung kos pembelian ubat bagi penyakit jantung yang dihidapinya sejak 2018.
“Saya rasa sangat terharu dengan sumbangan yang diterima hari ini. Sumbangan ini untuk membeli ubat untuk rawatan jantung. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang diatas sumbangan yang diberi,” katanya.-PAHANGMEDIA

