Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan sumbangan berjumlah RM 765,923 kepada 35 penerima sempena Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kestabilan ekonomi serta kecekapan pengurusan kewangan membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan semula manfaat kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan.

“Kerajaan Negeri memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan ianya tidak terjadi begitu sahaja. Ini disebabkan kedudukan kewangan yang baik.
“…kita uruskan pentadbiran dan anak-anak syarikat yang dulunya enam hingga tujuh tahun dulu banyak lalui (cabaran), sekarang ni dah membuat keuntungan. Jadi kita minta mereka sumbang balik kepada Kerajaan Negeri supaya Kerajaan Negeri boleh sumbang balik pada rakyat Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat negeri ini agar tidak terpengaruh dengan sentimen dan persepsi negatif, sebaliknya bersama-sama menyokong usaha pembangunan negeri demi kesejahteraan bersama.
“Jadi tolonglah bantu Kerajaan Negeri kalau ada yang cakap perkara tak elok pasal Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

