Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2025 : Arena sukan pencak silat negeri Pahang kehilangan seorang atlet berbakat besar apabila Mohammad Adha Iskandar Haidir, 18, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya malam tadi.
Turut terlibat dalam kemalangan terbabit ialah seorang lagi rakan sepasukannya, Nur Syukrina Adawiyah Mat Saidi, 18, yang cedera parah di bahagian lutut kiri dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pemergian Allahyarham Muhammad Adha merupakan satu kehilangan besar buat arena pencak silat negeri.
“Saya ingin memaklumkan bahawa dua atlet Pahang yang merupakan atlet pencak silat telah terlibat dalam kemalangan jalan raya malam tadi.
“Salah seorangnya, saudara Muhammad Adha Iskandar telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi saudari Nur Syukrina Adawiyah cedera parah bahagian lutut kiri.
“Ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada bukan sahaja sukan silat Negeri Pahang tetapi juga kita kehilangan atlet yang cukup berpotensi seperti saudara Muhammad Adha Iskandar,” ujarnya ketika ditemui selepas selesai menziarahi Nur Syukrina Adawiyah di HTAA, hari ini.
YB. Tuan Fadzli dalam masa sama turut menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang khususnya YAB. Menteri Besar Pahang kepada kedua-dua keluarga mangsa.
Beliau turut memaklumkan Nur Syukrina Adawiyah dijadualkan menjalani pembedahan lutut dalam masa terdekat.
“Pada masa sama, saya harap Nur Syukrina Adawiyah ini dapat pulih dan dapat menjalani latihan semula.
“Da. saya menzahirkan rasa simpati bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang dan bagi pihak YAB. Menteri Besar Pahang kepada kedua-dua keluarga pesilat,” ujarnya.
Kedua-dua atlet muda berkenaan difahamkan sedang dalam persiapan untuk mewakili negeri Pahang pada SUKMA di Selangor tahun hadapan. -PAHANGMEDIA