Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan insentif pendidikan sebanyak RM1 juta bagi meraikan kejayaan cemerlang bidang pendidikan di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, insentif ini juga merupakan simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam perjalanan pelajar di negeri ini dalam menuntut ilmu.
“Bagi meraikan kejayaan cemerlang ini, Kerajaan Negeri dengan sukacitanya memperuntukkan RM1 juta bagi pemberian insentif pendidikan tahun ini kepada 591 pelajar SPM memperoleh semua A; 65 pelajar STPM mendapat PNGK 4.0; dan 12 pelajar STAM mencapai Mumtaz.
“Selain itu Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM3,000 kepada 71 buah sekolah yang menerima Anugerah Khas.
“Keseluruhannya, 668 pelajar cemerlang diraikan pada hari ini dengan pemberian insentif RM1,000 tunai setiap seorang sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada usaha gigih anda semua. Ia juga adalah simbol komitmen bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersama anda dalam perjalanan menuntut ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM, STPM, dan STAM 2024 Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa percaya pendidikan yang baik dapat melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak, dan berjati diri dalam menghadapi dunia yang mencabar.
“Di negeri Pahang, kita percaya bahawa pendidikan yang baik akan melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak dan berjati diri. Inilah bekalan sebenar untuk menghadapi dunia yang penuh cabaran.
“Namun berkat kesungguhan semua pihak, kita berjaya mengatasi cabaran itu. Malah, pencapaian pelajar Pahang terus meningkat.
“Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2024 meningkat kepada 4.23, mengekalkan Pahang di kelompok kedudukan 3 negeri terbaik kebangsaan. Ini adalah kejayaan yang membuktikan bahawa pendidikan di Negeri Pahang sedang bergerak di landasan yang tepat,” katanya. -PAHANGMEDIA