Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2025 : Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor menjadi mercu tanda baharu bagi pewaris masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menurut YAB. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pusat yang dibina semula keseluruhannya dengan kos RM30 juta ini turut menawarkan kursus pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) yang berteraskan kemahiran kepada Orang Asli.
“Pada pagi yang penuh bermakna ini, patik memulakan bicara dengan menzahirkan tekad bahawa Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta agensi-agensi berkaitan, akan terus berdiri teguh di sisi masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Orang Asli yang sentiasa dekat di hati patik sekalian.
“Lebih-lebih lagi, Negeri Pahang merupakan tanah bertuah yang menempatkan seramai 84,071 Orang Asli, jumlah tertinggi di Malaysia. Justeru, kehadiran pusat latihan ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi sebuah mercu tanda baharu yang akan membuka pintu harapan, terutama buat anak-anak muda, para pewaris desa.

“Hari ini, pusat ini lahir semula dengan wajah yang lebih segar serta hala tuju baharu. la kini bersedia menawarkan pelbagai kursus TVET yang berteraskan kemahiran, untuk melahirkan belia Orang Asli yang bukan sahaja cekap dan berdaya saing, malah mampu menguasai bidang-bidang strategik yang diperlukan oleh industri masa kini,” katanya.
Tambah beliau, pusat latihan ini turut mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan akan memulakan pengajian menjelang hujung tahun ini.
“Sebagai langkah permulaan, kita berbangga apabila Pusat Latihan ini telah mendapat pengiktirafan sebagai pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan dengan pengiktirafan ini, anak-anak muda Orang Asli bakal memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3. Insya-Allah, kohort pertama pelatih akan memulakan pengajian mereka menjelang penghujung tahun 2025.
“Kini, dengan wajah baharunya, PLPB dilengkapi fasiliti yang moden dan menyeluruh, bermula daripada bilik kuliah, bengkel jahitan sehinggalah blok kemahiran dan komuniti serta fasiliti sukan dan rekreasi.
“Terbaharu, JPA telah meluluskan 20 perjawatan baru bagi PLPB tanpa tukar ganti merangkumi pelbagai gred dan skim bagi kelancaran urusan operasi pusat ini,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan pusat latihan ini akan menjadi tempat melahirkan generasi Orang Asli yang cemerlang, berdaya maju, serta mampu melakar lebih banyak kejayaan. -PAHANGMEDIA

