Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi, pos, dan kurier yang terbaik kepada rakyat di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang turut mengingatkan syarikat terlibat untuk memperbaiki prestasi perkhidmatan mereka.
“Hari ini saya bersama dalam Sesi Libat Urus Bersama dengan pihak industri telekomunikasi, pos, dan kurier yang menyediakan perkhidmatan di Negeri Pahang. Dan dalam pertemuan ini saya mendapat maklumbalas daripada mereka khusus berkenaan perkhidmatan yang mereka sediakan, yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Dalam sesi ini juga saya menyatakan keseriusan dan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang untuk pihak-pihak ini menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Pada sesi ini saya telah memberi ingatan kepada pihak-pihak telekomunikasi, syarikat-syarikat ini agar membaiki prestasi mereka khusus kepada perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat berkait dengan talian telekomunikasi ini,” katanya.
Beliau berkata sesi perjumpaan pada hari ini juga penting supaya pemain industri terlibat sedar bahawa Kerajaan Negeri Pahang amat menitikberatkan soal kepuasan rakyat terhadap tahap perkhidmatan yang diterima.
“Saya juga menyatakan kerisauan saya dan kebimbangan tentang isu berkait dengan gangguan liputan telekomunikasi di seluruh Negeri Pahang yang akhir-akhir ini makin kerap berlaku. Saya mendapat maklumbalas secara langsung daripada rakyat berkenaan isu ini.
“Saya bersama pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dah banyak kali turun padang untuk melihat sendiri keadaan perkhidmatan-perkhidmatan ini dari segi kesiapsigaan dan sebagainya. Dan perjumpaan ini penting supaya mereka sedar bahawa Kerajaan Negeri Pahang menitikberatkan soal ini,” katanya.

Mengulas berkenaan inisiatif liputan 5G di negeri ini, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan mengatur satu perjumpaan bersama pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju perkara ini.
“Pihak Kerajaan Negeri akan atur satu lagi perjumpaan dengan pihak berkepentingan khususnya MCMC, UMobile, dan juga Digita Nasional Berhad (DNB) untuk menentukan hala tuju inisiatif ini di Negeri Pahang.
“Kerana kita tahu bahawa inisiatif 5G ini, negeri-negeri di Pantai Timur termasuk di Pahang agak ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain. Jadi perlu ada penambahbaikan segara dari sudut ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Bersama Pemberi Perkhidmatan Industri Telekomunikasi, Pos, dan Kurier Negeri Pahang di Swiss-bel Hotel yang turut dihadiri Pengarah Negeri, MCMC Pejabat Negeri Pahang, YBhg. Encik Shahrizal Husin.-PAHANGMEDIA

