Oleh : Syaherah Azmi & Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2025 : Penganjuran Temasya Warisan Pahang membuktikan kejayaan usaha sama antara Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan Perbadanan Muzium Negeri Pahang serta Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang apabila ia mendapat sambutan memberangsangkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, temasya ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung sejak ia berlangsung pada 1 September lalu.
“Penganjuran temasya yang istimewa ini telah mendapat sambutan yang begitu hebat dengan kehadiran pengunjung yang begitu ramai bermula pada tanggal 1 September hingga 7 September 2025,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Temasya Warisan Pahang yang berlangsung di perkarangan Museum of Contemporary Art (MOCA), di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan buat rombongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang sudi memeriahkan temasya berkenaan melalui pelbagai pameran, bengkel, serta persembahan kebudayaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh peserta pameran demonstarsi dan jualan kraf serta agensi lain yang terlibat sepanjang temasya ini berlangsung.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta pameran demonstrasi, jualan kraf serta agensi yang terlibat sepanjang tujuh hari temasya ini berlangsung.
“Tidak lupa juga ribuan terima kasih kepada urusetia, pasukan keselamatan dan semua pihak yang bertungkus lumus memastikan Temasya Warisan Pahang dapat berjalan dengan jayanya,” ujarnya.
Majlis penutupan Temasya Warisan Pahang ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

