Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 06 SEPTEMBER 2025 : Komuniti Rukun Tetangga (KRT) perlu terus menjadi penggerak utama dalam memastikan perpaduan rakyat di negeri ini terus kukuh.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, peranan KRT semakin signifikan dalam mendepani cabaran era digitalisasi yang menuntut pendekatan lebih dinamik untuk membangunkan komuniti progresif.
“Program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Rukun Tetangga menjadi Tapak Integrasi dalam menyatupadu dan memastikan keharmonian dalam komuniti setempat.
“Tapak Integrasi ini sangat penting sebagai tempat pertemuan dan ruang untuk komuniti saling berinteraksi bagi memupuk semangat kejiranan dan semangat muhibah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 dan Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri Pahang 2025 selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Dataran Bentong, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YB Dato’ Haslina Abd Hamid; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen; serta barisan pimpinan setempat.
Tambah YB. Puan Leong Yu Man lagi, usaha menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama untuk membentuk identiti nasional bukanlah proses singkat, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak sama ada kerajaan pusat, negeri mahupun komuniti akar umbi.
“Saya ingin mengambil ruang dan kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga KRT yang telah banyak meyumbang bakti secara sukarela kepada masyarakat dan negara. Sesungguhnya segala sumbangan dan jasa-jasa yang telah dicurahkan selama ini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang yang sentiasa menyokong inisiatif perpaduan.
“Pada tahun lalu, YAB. Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi melaksanakan program silang budaya di Negeri Pahang, menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan negeri ini kekal harmoni dan makmur,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, rakyat perlu terus menjadi nadi dan tunjang perpaduan dan kekuatan negara yang berdaulat dan merdeka ini.
“Sejak mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar dan program pembangunan dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan semua kaum.
“Matlamat akhir setiap dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk perpaduan rakyat. Justeru, semangat perpaduan hendaklah dipelihara dan dipupuk secara berterusan kerana ia adalah nikmat yang tidak ternilai harganya,” katanya.
Program sambutan kali ini berlangsung selama tiga hari dengan penglibatan 47 reruai agensi dan KRT yang mempamer serta menjual produk tempatan selain pameran Rumah Kita. -PAHANGMEDIA

