Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkukuh pendigitalan serta pematuhan perundangan dalam sektor kesihatan swasta, khususnya melibatkan pelaksanaan sistem E-Invois.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, pelaksanaan sistem E-Invois ini akan diperluaskan secara berperingkat kepada semua jenis perniagaan termasuk perkhidmatan di klinik swasta.
“Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), sistem e-Invois akan diperluaskan secara berfasa kepada semua perniagaan termasuk klinik swasta.

“Tujuan utama pelaksanaan e-Invois ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan percukaian, mengurangkan ketirisan hasil negara serta memastikan ketelusan dalam transaksi perniagaan.
“Bagi klinik swasta, ini bermakna segala transaksi termasuk bayaran pesakit, tuntutan insurans dan pembelian ubat perlu direkodkan secara digital serta dihantar terus ke sistem e-Invois yang berintegrasi dengan LHDN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kepatuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di bawah Akta 709 perlu dipandang serius oleh semua pengamal perubatan swasta.
“Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan Primary Care, klinik swasta memegang amanah menjaga kerahsiaan dan keselamatan data peribadi pesakit.

“Pematuhan kepada PDPA bukan sahaja tuntutan undang-undang, malah juga tanggungjawab moral terhadap pesakit yang meletakkan kepercayaan kepada perkhidmatan kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar E-Invois serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang berlangsung di Swiss-BelHotel, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yakin kerjasama semua pihak akan memastikan pelaksanaan E-Invois dan pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) berjalan lancar, sekali gus memperkukuh integriti dan kecekapan sektor kesihatan swasta di Malaysia.
“Marilah kita sama-sama bergerak ke arah pendigitalan dan pematuhan perundangan demi meningkatkan integriti serta kecekapan sektor kesihatan swasta di Malaysia.
“Dan saya percaya bahawa dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan E-Invois dan pematuhan PDPA dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya. -PAHANGMEDIA

