Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Kerajaan Negeri Pahang memberi perhatian serius terhadap usaha memperluaskan Kelas Pengajian Al-Quran bagi kanak-kanak dan golongan dewasa di seluruh Pahang.
Paduka baginda bertitah seluruh masjid di negeri ini wajar mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan kelas-kelas pengajian al-Quran, berlandaskan modul yang dibangunkan Jabatan Agama Islam Pahang melalui Masjid Negeri Sultan Ahmad I sebagai panduan dan rujukan.

“Pada tanggal 7 Mac 2025 yang lalu, ketika merasmikan Masjid Baharu Kampung Teluk Ira, Temerloh, Saya pernah bertitah agar Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap dua perkara penting. Antara yang utama ialah usaha mewujudkan kelas pengajian al-quran untuk kanak-kanak mahupun golongan dewasa.
“Justeru, saya menyeru agar setiap masjid dan surau di Negeri Pahang tidak sekadar menjadi tempat bersujud, tetapi menjadi pusat penyuburan ilmu dan cahaya Al-Quran.
“Oleh itu, seluruh masjid di negeri ini perlu memgambil langkah proaktif untuk menubuhkan kelas-kelas pengajian Al-Quran, dengan menjadikan modul yang dibangunkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang melalui Masjid Negeri Sultan Ahmad l sebagai panduan dan rujukan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap budaya perkauman sempit yang kian menular dalam masyarakat dan mengingatkan rakyat agar tidak terjebak dengan isu 3R (Agama, Raja dan Kaum) yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Saya turut menzahirkan kegusaran, terhadap budaya perkauman sempit yang kian menular. Sikap sedemikian bukan sahaja memperdalam jurang prasangka, malah menumbuhkan bibit kebencian, yang boleh merosakkan keamanan negara.
“Malah, terdapat segelintir pihak yang memanipulasi agama dan bangsa sebagai alat politik untuk meraih kuasa, sama ada secara terang-terangan mahupun tersirat. Sikap melampau ini menolak hak yang lain, hingga menimbulkan rasa takut dan curiga dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Oleh itu, tidak harus ada sebarang suara yang cuba menyemai benih hasutan dengan menimbulkan keraguan sehingga mengeluarkan kenyataan; tidak wajib mematuhi titah raja dan pemerintah.
“Fikrah yang sebegini adalah racun yang akan merosakkan tali persaudaraan, mencarik keharmonian, dan mencemar kestabilan yang sekian lama kita kecapi,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1447H / 2025M di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Ketibaan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

