Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2025 : Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Tok Muda Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1447 Hijrah.
YH. Tok Muda Dato’ Dr Haji Zulkifle, 61, yang berasal dari Kampung Sepat, Kuantan berkata sedikit sumbangan beliau dalam bidang Al-Quran merupakan jariah kepada negeri khasnya.
“Alhamdulillah keluarga sangat menyokong dari awal pembelajaran dan sehingga berakhir perkhidmatan.
“Sedikit sumbangan terutama di bidang Al-Quran, semoga ini menjadi jariah, sama ada di peringkat organisasi, negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau ketika ditemui turut melahirkan rasa bersyukur di atas penganugerahan ini yang disifatkan masih jauh walau pernah mencurahkan khidmat selama 29 tahun di bumi Pahang.
“Saya merasa sangat bersyukur atas penganugerahan ini. Ini suatu penghormatan, namun jauh disudut hati merasakan adakah sumbangan ini masih jauh jika dibandingkan dengan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
“Justeru perjuangan yang ditinggalkan oleh Baginda ini mesti diteruskan selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada majlis yang sama Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan dua lagi anugerah iaitu Anugerah Ummah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2025 kepada Encik Mohd Nor Yatim dan Anugerah Daie Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2025 kepada Allahyarham Rujhan Mohamed Razali.
Keberangkatan baginda pada pukul 10.30 pagi diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

