Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 04 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkasakan pembangunan modal insan melalui bidang pendidikan dan kemahiran, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, pelbagai peruntukkan yang diumumkan dalam bajet yang lepas menjadi bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam bidang pendidikan.
“Kerajaan Negeri Pahang, dibawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sangat menitik berat perkara ini, sebab itu kalau kita perhatikan, pelbagai peruntukkan telah diumumkan dalam bajetnya yang lalu.
“Lebih daripada RM15 juta (diperuntukkan) bagi memastikan pelbagai sudut sama ada soal anak-anak tahfiz dan kemahiran, soal bagaimana prasarana ini dapat diberikan sebaik-baiknya untuk pendidikan.

“Kesungguhan Kerajaan Negeri melalui aspirasi Pahang 1st yang diuar-uarkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang sangat menjiwai apa yang dikehendaki oleh orang ramai, generasi muda, dan apa yang diperlukan oleh anak-anak kita,” katanya.
Beliau juga berkata pendekatakan inklusif ini telah membawa perubahan dengan memberi peluang luas kepada semua lapisan masyarakat termasuk anak-anak Orang Asli, yang kini mampu menjana pendapatan tetap hasil kemahiran yang diperoleh.
“Perubahan hidup mereka sebelum ini yang hanya tertumpu kepada pendalaman dan berharap pada hasil hutan tetapi corak itu telah berubah hasil daripada pandangan jauh YAB. Menteri Besar Pahang.
“YP Advanced Skills ini, mereka (graduan) telah berjaya mendapat hasil yang lumayan pada ketika ini tidak kurang daripada RM3000 ke RM5000 pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia 2025, selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), YH Dato’ Haji Mohd. Lafzul Muda Al-Hafiz; Pengarah Bahagian Pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Ts. Haji Azman Ibrahim; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin.
Pada majlis tersebut, seramai 419 orang graduan yang terdiri daripada graduan Diploma Kemahiran Malaysia seramai 113 orang, dan Sijil Kemahiran Malaysia seramai 168 orang.
Turut diraikan seramai 94 orang Graduan Tahfiz Mahir bagi Sijil Kemahiran Malaysia Modular dan seramai 44 orang Graduan Perkhidmatan Masyarakat Orang Asli (PETAMA). -PAHANGMEDIA

