Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 04 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.

Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat yang disampaikan oleh KDPB Tengku Ampuan Pahang selaku pengerusi dan juga pengasas Yayasan Tenun Pahang Diraja.
Perkampungan yang berkeluasan 9.6 ekar (3.88 hektar) berkenaan merupakan cetusan idea KDPB Tengku Ampuan Pahang lebih enam tahun lalu bagi memberi peluang kepada proper (bekas banduan) supaya tidak mensia-siakan bakat tenunan yang telah dipelajari.
Perkampungan itu juga akan dilengkapkan dengan penempatan bagi golongan itu dan ahli keluarga selain pavilion, ruang niaga, pusat kraf, rumah kebun dan kafe serta restoran.
Paduka Baginda dalam titahnya berharap agar projek perkampungan berkenaan dapat direalisasikan agar ianya dapat memberi peluang kepada proper memulakan hidup baru.

“Kita berterima kasih kepada pihak penjara kerana telah memberi bantuan kepada mereka untuk kembali semula mendapatkan nafas kedua ataupun kehidupan yang baru.
“Dengan adanya program seperti ini, saya percaya ia akan memberi satu keyakinan kepada mereka.
“Bila mereka keluar nanti, sekurang-kurangnya mereka ada peluang untuk meneruskan kehidupan mereka, sama ada dalam bidang tenunan ataupun bidang-bidang lain melalui projek ini nanti,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda dalam masa sama turut berharap agar projek perkampungan tersebut dapat dikendalikan dengan sebaik mungkin dan dapat direalisasikan dalam masa terdekat. -PAHANGMEDIA

