Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 3 SEPTEMBER 2025: Perlumbaan berbasikal amatur Tourism Pahang King of Mountain (KOM) Genting Highlands 2025 yang julung kali diadakan di pusat peranginan terkemuka negara itu mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila mendapat penyertaan seramai 253 pelumba dari 16 negara.
Acara yang dianjurkan Tourism Pahang dengan kerjasama MUSE Group Asia itu menyaksikan peserta menempuh pendakian setinggi 2,457 meter dengan cerun curam mencecah 18.7 peratus menjadikannya antara laluan paling mencabar di Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, penganjuran edisi pertama ini amat membanggakan kerana buat julung kalinya laluan ke Genting Highlands ditutup khas bagi memberi peluang kepada pelumba amatur merasai cabaran pendakian tersebut.

“Terima kasih kepada Tourism Pahang sebab telah berjaya menganjurkan acara pada hari ini dan salah satu tarikan pada hari ini adalah tidak pernah Genting Highlands tutup jalan untuk acara amatur dan ini adalah julung kali dan kita rasa berbesar hati, kita berasa bangga kerana dengan kerjasama ini kita dapat menjayakan program ini.
“Hari ini walaupun persediaan kurang daripada tujuh minggu, tetapi kita berjaya menarik peserta seramai 254 orang dari 16 negara dan kita berharap acara ini kita dapat teruskan di negeri Pahang setiap tahun.
“Dan kita percaya sempena tahun melawat Malaysia pada tahun 2026, tahun hadapan, kita dapat perbesarkan lagi acara ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai menyampaikan hadiah kepada pemenang acara berkenaan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, penganjuran itu membuktikan potensi Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan sukan selain tarikan hiburan yang sedia ada.
“Walaupun genting Highlands sudah popular dalam kalangan pelancong tetapi kita percaya bahawa selain daripada hiburan yaang kita selalu promosikan, tetapi ia juga ada potensi lain sebagai contoh cerun-cerun yang ada di Genting Highlands jadi sport tourism (sukan pelancongan), merupakan salah satu potensi yang kita boleh lakukan di Genting Highlands.
“Pada masa yang sama di Pahang kita juga ada Bukit Fraser, Cameron Highlands juga. Kita percaya pada masa akan datang kita akan terus membantu kawasan bukit tinggi untuk menarik lebih ramai pelancong,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Tuan Kamaruddin Ibrahim berkata, perlumbaan kali ini memberi peluang kepada penggemar berbasikal amatur untuk merasai pengalaman mendaki Genting Highlands yang selama ini hanya menjadi laluan perlumbaan profesional seperti Le Tour de Langkawi.
“Kalau diikutkan di Genting ini hanya acara Le Tour sahaja, tidak pernah dibuka jalan ini untuk amatur. Ini pertama kali jalan ditutup kepada amatur.
“Sesiapa sahaja boleh masuk, boleh mendaki dan ia merupakan satu tarikan kepada peminat basikal yang memang mengimpikan untuk mendaki Genting dengan berbasikal. Jadi acara ini memberi peluang untuk mereka merasai cabaran yang terdapat di Genting itu,” katanya. -PAHANGMEDIA

