Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menekankan kepentingan tumpuan pada bidang utama melalui lima Projek Pembangunan Utama di Negeri Pahang.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penekanan ini turut melibatkan pengukuhan infrastruktur, transformasi digital, pembangunan mampan, serta kesalinghubungan rakyat ke rakyat.

“Saya juga turut menyentuh lima Projek Pembangunan Utama di Negeri Pahang iaitu Pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pelaksanaan projek pemecut ekonomi (EAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.
“Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau; pembangunan industri daging lembu Wagyu dan tenusu di Pahang; promosi Visit Pahang bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026; dan pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark,” katanya.
Beliau berkata Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT) yang berlangsung di Trang, Thailand bermula semalam membolehkan Kerajaan Negeri Pahang berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama, dan merangka hala tuju masa depan.

“Ini membuktikan Negeri Pahang diiktiraf diperingkat ASEAN dan antarabangsa.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1993, IMT-GT telah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, malah juga dalam keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Inilah kunci untuk menjadikan rantau kita lebih berdaya saing, inklusif dan makmur,” katanya.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, beliau percaya forum ini mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan serta kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Marilah kita terus memperbaharui komitmen kepada visi bersama dan menjayakan IMT-GT,” katanya. -PAHANGMEDIA

