Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 02 SEPTEMBER 2025 : SMK Seberang Temerloh menjadi sekolah angkat kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, pengumuman ini juga sebagai tanda komitmen beliau dan Kerajaan Negeri Pahang bersama-sama pihak sekolah dan jurulatih.
“Saya umumkan sekolah ini sebagai sekolah angkat sebab saya letakkan harapan yang tinggi untuk pelajar-pelajar dan atlet di sini menyumbang kepada negeri.
“Dalam saat kita menagih sumbangan dan komitmen mereka, saya rasa adil untuk saya pun bagi komitmen kepada mereka. Jadi win-win lah.
“Saya rasa sudah sampai masanya kita lihat perkara ini secara serius dan dengan pengumuman saya sebagai sekolah angkat ini, saya percaya akan terjalin satu hubungan yang antara saya bukan sahaja dengan sekolah tapi lebih penting dengan pelajar-pelajar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Inisiatif Jurulatih Sambilan Majlis Sukan Pahang (MSP) serta Majlis Ramah Mesra Bersama Atlet Sekolah Sukan Negeri Pahang di SMK Seberang Temerloh.
Tambah beliau, pengumuman ini juga bagi memastikan keperluan para atlet dapat dinilai dan diberi perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Dan saya nak melihat keperluan mereka kerana sebahagian besar mereka akan mewakili Pahang dalam temasya sukan tertentu. Jadi elok sangatlah keperluan mereka ini dinilai dan diberi perhatian sewajarnya.
“Saya pun akan minta Majlis Sukan Pahang untuk merangka peranan saya sebagai bapa angkat kepada sekolah ini agar ia tidak tinggal sebagai pengumuman angkat semata-mata.
“Ada gerak kerja. Mungkin dua tiga bulan saya perlu turun sini jumpa dengan atlet, jumpa dengan jurulatih, jumpa dengan pihak sekolah supaya apa yang kita rancang berjalan dengan baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

