Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 02 SEPTEMBER 2025 : Inisiatif Pelantikan Jurulatih Dalam Kalangan Guru di negeri ini dilihat dapat menjadi jalan mengangkat kembali kegemilangan sukan di Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia juga sebagai jalan mencari bakat baharu yang berpotensi dalam bidang sukan.
“Kita harap inisiatif ini mampu mengangkat kembali kegemilangan sukan untuk Negeri Pahang ini. Dan kita mengharapkan kemahiran serta pengalaman yang dimiliki oleh guru-guru ini dapat membantu kita mencari dan mencungkil bakat-bakat baharu yang berkualiti dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

“Tapi tidak terhenti setakat itu, kita nak kemudiannya bakat ini digilap oleh guru-guru ini sebagai jurulatih sambilan dan kemudiannya bakat-bakat ini kita ketengahkan untuk mewakili Negeri Pahang ke acara yang lebih tinggi, contohnya SUKMA.
“Saya mengharapkan sangat jurulatih sambilan di kalangan guru ini mampu membantu Majlis Sukan Pahang untuk persediaan kita melengkapkan atlet kita yang berkualiti untuk bertanding di SUKMA Selangor pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Inisiatif Jurulatih Sambilan Majlis Sukan Pahang (MSP) serta Majlis Ramah Mesra Bersama Atlet Sekolah Sukan Negeri Pahang di SMK Seberang Temerloh.

Beliau berkata pihak Majlis Sukan Pahang juga telah diminta mengkaji mekanisma bagi menilai gerak kerja para jurulatih sambilan berkenaan bagi memastikan Pengukur Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dapat dipenuhi.
“Jadi prestasi dan kerja serta tugas jurulatih sambilan ini akan dipantau secara rapat oleh Majlis Sukan Pahang dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
“Dan ini adalah permulaan kita. Selepas ini banyak lagi inisiatif yang akan kita laksanakan dan saya juga mengalu-alukan cadangan untuk melantik jurulatih sambilan di kalangan bekas-bekas atlet kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

