Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 01 SEPTEMBER 2025 : Projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak (WAC) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Tanjung Lumpur dijangka siap pada Mei 2028.
Menurut Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Wira Ir. Roslan Ismail, pembinaan ini bagi menangani kepadatan pesakit di bangunan HTAA sedia ada.

“Kita amat berharap projek Woman And Child (WAC) HTAA ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah kita tetapkan pada Mei 2028 kerana ini merupakan satu projek yang penting bagi Negeri Pahang.
“Dan sebagaimana Yang Berhormat exco sebut tadi, kepadatan hospital sedia ada dan sebagainya, jadi dengan siapnya projek ini, saya rasa masalah padatnya hospital HTAA sekarang ini dapat kita atasi,” katanya.
Beliau berkata buat masa ini terdapat sedikit kelewatan berlaku disebabkan beberapa faktor namun beliau melahirkan keyakinan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Hasil daripada taklimat yang diberikan tadi projek ini sedang berjalan dengan baik walaupun ada sedikit kelewatan berpunca daripada beberapa isu berkenaan pengambilan balik tanah dan juga kebenaran merancang,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan agar pembinaan blok ini dapat dipercepatkan namun pihak JKR tidak akan berkompromi dengan kualiti binaan selain mengikut standard yang digariskan.

“Jadi dengan inisiatif-inisiatif atau komitmen yang diberikan oleh pihak kontraktor telah diberikan oleh pihak kontraktor, memang kita berharap supaya projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh yang telah kita tetapkan.
“Walaupun cepat (tempoh pembinaan) kita tak akan kompromi dari segi kualiti. So walaupun projek itu kita minta disiapkan dalam tempoh lebih cepat, but we never compromise the quality. Kita ada standard dan specification to comply,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak ke Tapak Menaiktaraf Jalan Persekutuan, Persimpangan Bertingkat Jabor – Jerangau ke Persimpangan Pelabuhan Kuantan serta Tapak Pembinaan Blok Wanita dan Kanak Kanak, Hospital Tengku Ampuan Afzan, bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim. -PAHANGMEDIA

