Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 25 OGOS 2025 : Bantuan di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) memberi kelegaan buat ibu muda dari masyarakat Orang Asli, Norti Mat Lana, 25, apabila dapat digunakan untuk persiapan menyambut kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada September ini.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang sebab memberi kami bantuan. Saya sangat berterima kasih sebab pemberian ini dapatlah saya beli apa yang saya nak beli sebab dari segi kewangan sendiri tidak cukup,” katanya.

Norti merupakan antara 1,756 penerima daripada masyarakat Orang Asli di enam daerah negeri ini yang menerima sumbangan berkenaan sempena Majlis Santuni Saudaraku bersempena Sambutan Maal Hijrah serta Pelancaran dan Penyampaian I.M Pahang Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.
Seorang lagi penerima, Muhammad Al-Karim Man, 30, yang telah memeluk Islam sejak dua tahun lalu berkata, sumbangan berkenaan akan disimpan untuk kegunaan kecemasan dan membeli barangan keperluan keluarga.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kerana tidak mengabaikan masyarakat orang asli di negeri Pahang. Sumbangan ini dapat meringankan beban,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai tiga masyarakat Orang Asli dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Sungai Bilut memilih untuk memeluk Islam, iaitu Farizal Johari, 27, bersama dua anak saudaranya Nurmazitul Atisha Zamri, 19, dan Tiara Kamelia Zamri, 13.
Lafaz syahadah telah dilaksanakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, yang hadir mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal serta Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Menurut Farizal, hasrat memeluk Islam lahir daripada keikhlasan hati setelah lama mengenali agama Islam melalui kawan serta saudara mara.
“Saya nak peluk Islam sebab hati rasa nak peluk Islam, saya memang rasa nak masuk Islam. Lama dah kenal Islam, sebab kawan, saudara mara. Macam rasa nak masuk Islam. Sebab hati. Macam rasa hati suka nak masuk Islam itu,” katanya.
Tambahnya, dia merakamkan penghargaan atas usaha semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri dalam membantu merealisasikan hasratnya untuk memeluk agama Islam.
“Terima kasih atas apa yang mereka tolong. Rasa gembira… dan berterima kasih kerana banyak yang telah membantu,” ujarnya.
Program Santuni Saudaraku merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang setiap tahun sejak tiga tahun lalu bagi mendekati masyarakat Orang Asli serta mengukuhkan hubungan silaturahim selain menyantuni saudara baru di negeri ini. – PAHANGMEDIA

