Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 19 OGOS 2025 : Pertandingan Tenun Pahang Diraja bagi merebut Piala Tunku Azizah yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan 103 peserta dengan membabitkan 206 produk dihasilkan.
Pertandingan anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu berlangsung dari 27 Mac hingga 30 April lalu melibatkan penyertaan individu, pelajar, usahawan serta banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa terharu dan sukacita dengan sambutan yang begitu menggalakkan terhadap pertandingan tersebut.
Baginda bertitah, semua produk iaitu kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi akan dinilai lima juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.
Penjurian akan diketuai YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama empat pakar tekstil negara iaitu Dr. Habibah Abdul Jabar; Prof. Dr. Norwani Md. Nawawi; Noorizal Ramly dan Noridah m Johan.
“Panel juri akan membuat penilaian berdasarkan empat kriteria iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi dan komersial.
“Paling utama adalah penghasilan produk mesti menggunakan kaedah pembentukan tangan yang termaktub dalam definisi kraf tangan yang digariskan oleh UNESCO.
“Penggunaan mesin adalah tidak dibenarkan. Setiap produk yang dihasilkan wajib menerapkan nilai warisan Malaysia sama ada dalam aspek motif, warna, teknik pembuatan dan amalan budaya,” titah Paduka Baginda menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Pertandingan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM104,000 termasuk RM30,000 bagi pemenang utama, RM20,000 untuk tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga di mana keputusan akan diumumkan pada 24 Ogos 2025 selepas sesi perjurian 21 hingga 23 Ogos.
Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 31 Ogos 2025 sempena Perasmian Temasya Warisan Pahang di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan, yang bakal disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada malam sama, Paduka Baginda turut dijadual melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah yang ditubuhkan pada 2023.
Semua produk yang menyertai pertandingan ini akan dipamerkan sempena Temasya Warisan Pahang dari 1 hingga 7 September 2025 di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan.
Paduka Baginda turut bertitah pertandingan yang diadakan itu merupakan platform penting dalam memperkasa serta memperluas pengaruh Tenun Pahang Diraja di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pertandingan bertujuan mencungkil bakat kreatif dan inovatif dalam kalangan penenun untuk menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik, serta kemahiran dengan potensi nilai komersial,” titah Paduka Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

