Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 OGOS 2025 : Semua pihak diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan mempromosikan Hujung Tanjung Walk di Tanjung Lumpur di sini sebelum proses serahan rasmi tapak daripada kontraktor kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata tindakan mempromosikan kawasan tersebut tanpa kebenaran boleh menimbulkan risiko keselamatan kerana kawasan itu belum disahkan selamat untuk pengunjung.

“Dan saya juga ada menerima aduan bahawa kawasan ini telah dipromosikan oleh pihak yang merasakan dialah yang ‘buat’ kawasan ini. Sebenarnya kita perlu rasmikan dahulu kawasan ini dan barulah kita nak promosi.
“Kita mesti mengambil kira mengikut prosedurnya. Kita hormatilah pemilik yang membuat kawasan ini. Minta kebenaran dari pihak berwajib, pihak berkenaan. Dapat kebenaran dahulu baru promosi,” katanya selepas melakukan lawatan ke kawasan itu, hari ini.
Lawatan berkenaan turut disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH Dato’ Zaliza Zulkipli dan agensi-agensi terlibat.
YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut menegaskan budaya hormat-menghormati dalam masyarakat perlu diutamakan, termasuk dalam urusan penganjuran program atau promosi, tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Jangan cepat sangat war-warkan, nanti takut ada orang datang (melakukan sesuatu) tidak tentu arah, kemalangan atau apa. Bila dah diserahkan kepada MBK dan disahkan selamat, barulah kita akan buka kepada orang awam.
“Tapi dah ada pihak yang cuba mempromosikan kawasan ini. Jangan dijadikan amalan, budaya perkara sebegini. Bila kita datang ke sesuatu tempat, nak bekerjasama, perlu mendapat usahasama dan kebenaran daripada pemilik-pemilik, atau penganjur program, baru kita boleh bersama-sama mempromosi, mengadakan usahasama.
“Walaupun ada perbezaan atau pemahaman dari segi politik, kena sama-sama menjadikan budaya hormat-menghormati ini sebagai asas dan keutamaan dalam kehidupan kita, adab bersama masyarakat ini,” katanya lagi.
Hujung Tanjung Walk yang berkeluasan satu hektar itu dijadualkan dibuka secara rasmi pada September ini justeru YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berharap agar proses penyerahan dapat diperccepatkan agar kemudahan itu digunapakai oleh orang ramai yang berkunjung ke sini. -PAHANGMEDIA

