Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang bersama-sama membacakan Al-Fatihah kepada Arwah Zara Qairina Mahathir sebagai tanda simpati dan kebersamaan Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau memulakan sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 hari ini dengan menyeru semua ADUN beragama Islam bersama-sama membacakan Ummul Kitab kepada Allahyarhamah.
Beliau berkata ia sebagai doa simpati dan tanda kebersamaan Kerajaan Negeri Pahang bersama Allahyarhamah Zara Qairina.
Sebelum ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat khas bertujuan memohon kelancaran proses keadilan buat Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir serta memastikan kebenaran dapat ditegakkan.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu pada 17 Julai, sehari selepas insiden berlaku.
Kes ini mendapat perhatian meluas, terutamanya di media sosial, selepas timbul dakwaan adanya unsur buli di sekolah berkenaan. – PAHANGMEDIA

