Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 13 OGOS 2025 : Program Mini MAHA Pahang 2025 yang bakal berlangsung di Dataran Temerloh selama empat hari bermula esok disasarkan mendapat kutipan hasil sebanyak RM1.2 juta.
Menurut Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom, program yang julung kali diadakan ini juga dijangka dapat menarik kehadiran 50,000 pengunjung.
“Kita mensasarkan kedatangan pengunjung seramai 50,000 orang dan sasaran kutipan kita kali ini adalah sebanyak RM1.2 juta.

“Ia melibatkan semua iaitu pempamer, peniaga dan sebagainya dengan pempamer terlibat adalah seramai 100 orang pempamer,” katanya.
Beliau berkata program ini juga menjadi platform utama untuk mempamerkan hasil pertanian, penternakan, perikanan, inovasi teknologi agromakanan serta peluang perniagaan dalam sektor agro.
“Pada MAHA kali ini yang julung kali diadakan akan menampilkan pelbagai acara menarik, aktiviti menarik antaranya adalah pameran lembu wagyu, lembu sado, dan pameran haiwan ternakan.
“Banyak aktiviti menarik yang boleh jadi tarikan dan orang ramai boleh datang bersama keluarga untuk sama-sama memeriahkan program kita kali ini.
“Selain itu, kita ada pameran produk Pahang Best yang akan dilancarkan yang mana ia merupakan produk ikonik Negeri Pahang dan dijamin sedap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis pelepasan konvoi kenderaan ke Program Mini MAHA Pahang 2025 oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di perkarangan lobi Hotel GEO Resort, Genting Highlands.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, penganjuran Mini MAHA Pahang 2025 ini selari dengan Aspirasi Pahang 1st dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri, meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian moden, dan mempromosikan produk tempatan ke peringkat yang lebih luas.
Pelepasan konvoi yang disertai 25 buah kenderaan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh dan CelcomDigi ini bertujuan mempromosikan Program Mini MAHA Pahang 2025.
Program ini turut menyediakan pelbagai acara menarik termasuk pameran teknologi dan inovasi pertanian, pertandingan hasil pertanian, jualan produk segar, demonstrasi masakan, persembahan seni budaya serta aktiviti interaktif untuk semua peringkat umur.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

