Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 11 OGOS 2025 : Pemohon rumah di Negeri Pahang khususnya mereka yang berdaftar dalam sistem ePerumahan Pahang sebelum tahun 2018 diminta mengemas kini maklumat permohonan masing-masing bagi memastikan urusan perumahan di negeri ini terus cekap, telus dan mesra rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pengemaskinian boleh dilakukan melalui portal rasmi eperumahan.pahang.gov.my mulai 1 Ogos hingga 31 Ogos ini.
“Kita semua sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri, telah membangunkan portal eperumahan.pahang.gov.my sebagai sebuah platform digital yang memudahkan urusan permohonan perumahan.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan proses permohonan dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan mesra rakyat.
“Sehingga kini, lebih 130,000 pemohon telah berdaftar melalui sistem ePerumahan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Pahangku di Taman Awam Ujana, di sini hari ini.
Majlis pecah tanah berkenaan dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan; dan pimpinan setempat.
Mengulas lanjut, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata portal ePerumahan Pahang dibangunkan sebagai platform digital yang memudahkan urusan permohonan perumahan di negeri ini.
“Proses ini amat penting supaya maklumat yang disimpan adalah lengkap, terkini, dan memudahkan padanan dengan skim perumahan yang paling sesuai untuk setiap pemohon.
“Kita yakin bahawa penggunaan sistem digital ini bukan sahaja memudahkan rakyat, malah memperkukuh tahap ketelusan, meningkatkan kecekapan pengurusan dan memastikan setiap rumah yang dibina dapat diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya lagi.
Orang ramai boleh mengemas kini maklumat permohonan melalui portal rasmi eperumahan.pahang.gov.my. -PAHANGMEDIA

