Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 11 OGOS 2025 : Sebanyak 1,000 unit kediaman mampu milik Pangsapuri Pahangku akan dibina berhampiran Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong, menjadikannya projek perintis inisiatif Kerajaan Negeri Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek di atas tanah seluas 2.5 hektar itu akan menyediakan unit pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi dengan tiga bilik tidur pada harga berpatutan.
“Di Bentong ini menurut kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara, 63 peratus adalah anak-anak muda.
“Jadi rumah Pangspuri Pahangku ini kita akan bangunkan dalam empat blok. Kita akan dapat lebih kurang 1,000 unit dan harganya berpatutan.

“Kita akan laksanakan (pembinaan) dalam masa terdekat apabila semua peraturan telah kita penuhi. Harga belum ditentukan lagi, tapi berpatutan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Pahangku di sini, hari ini.
Menurutnya, Pangsapuri Pahangku akan menjadi penanda aras pembangunan kediaman moden berhampiran tujuh stesen ECRL di Pahang iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating.
Jelasnya, projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri bagi membangunkan kawasan dalam radius 16 kilometer daripada setiap stesen ECRL, selain menyokong pembangunan semula bandar kecil dan luar bandar.
“Di Pahang ini kita ada tujuh stesen dan kita akan fikirkan (projek seterusnya). Ini yang pertama, lepas itu ada lagi menyusul di stesen-stesen yang lain dan seperti mana komitmen Kerajaan Negeri, kawasan yang 16 kilometer radius daripada stesen kita akan bangunkan (Pangsapuri Pahangku).

“Kerana jajaran kerata api ECRL ini yang paling panjang adalah di Pahang iaitu sepanjang 224 kilometer. Jadi sudah pastinya kawasan ini ada potensi dan projek Pangsapuri Pahangku ini sebenarnya memberi harapan baru kepada anak muda Negeri Pahang,” ujarnya.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut memaklumkan dua lagi lokasi berhampiran stesen ECRL akan dikenal pasti untuk pembinaan Pangsapuri Pahangku seterusnya.
“Akan difikirkan dan akan bincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan CEO LPHP (Ketua Pegawai Eksekutif, YH. Dato’ Ahmad Islanizambin A. Halim) untuk mereka mengkaji dan menilai dahulu dan (kemudian) syorkan (lokasi) kepada kerajaan.” ujarnya.
Majlis pecah tanah berkenaan turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta pimpinan setempat. -PAHANGMEDIA

