Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
BENTONG, 11 OGOS 2025 : Kerajaan Pahang menyasarkan peningkatan kepada 85 peratus bagi Skor Industrial Harmony Index (IHI) Negeri Pahang pada tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang, ini memandangkan pelaksanaan IHI Self-Assessment (IHI SA) telah menunjukkan peningkatan positif pada tahun ini.
“Kalau ada peningkatan itu sudah cukup baik, saya harap tahun depan boleh dinaikkan kepada 85 peratus sebab ia (peratus terkini) sudah dekat 80 peratus. So nak dapatkan 80 peratus bagi saya tak susah sangatlah, cuma kena tambah 3 peratus lagi.
“Skor Industrial Harmony Index (IHI) Negeri Pahang yang dikeluarkan oleh JPPM secara dwi tahunan menerusi pelaksanaan IHI Self-Assessment (IHI SA) oleh syarikat-syarikat di Malaysia telah menunjukkan peningkatan positif iaitu daripada 78.1 peratus pada tahun 2022 kepada 79.8 peratus pada tahun 2024. Ini sekaligus mengekalkan Negeri Pahang dalam kategori Tahap Baik.
“Skor ini bukan sekadar angka, tetapi gambaran jelas bahawa kerjasama dan dialog sosial di negeri ini semakin matang dan berdaya tahan. Berdasarkan skor ini, saya yakin dan percaya bahawa masih banyak lagi usaha yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat industri dan JPP (Jabatan Perhubungan Perusahaan) Negeri Pahang agar tahap keharmonian di negeri ini dapat dipertingkatkan setara atau lebih tinggi daripada Skor IHI Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Keharmonian Perusahaan Kesuma 2025 Peringkat Negeri Pahang bertemakan Kelestarian, Keharmonian Perusahaan Melalui Pemerkasaan Perundangan di Wyndham Ion Majestic, Genting Highlands.

Beliau berharap pihak majikan di negeri ini terus memperkasakan ilmu dalam undang-undang perburuhan serta mengamalkan prinsip keadilan dan keterbukaan.
“Skor IHI Nasional diperoleh melalui penyertaan majikan dalam pelaksanaan IHI Self-Assessment (IHI SA), iaitu satu kaedah penilaian kendiri yang turut melibatkan pekerja dalam memberi penilaian terhadap keharmonian di syarikat. Saya berharap agar lebih banyak syarikat di Pahang untuk menyertai IHI SA ini melalui platform Industrial Relations Information System (IRIS) yang disediakan secara percuma oleh JPPM.
“Bagi Negeri Pahang, sukacita saya ingin berkongsi tentang kejayaan di peringkat nasional bagi dua buah syarikat yang pastinya telah membanggakan negeri ini menerusi kemenangan yang diperolehi daripada Anugerah Syarikat Harmoni 2025. Pertamanya, Syarikat Tanah Makmur Berhad yang memenangi Naib Johan untuk Kategori Syarikat Bersaiz Sederhana. Keduanya, Hotel Sentral Kuantan yang juga memenangi Naib Johan bagi Kategori Syarikat Bersaiz Kecil.
“Saya berharap pihak majikan di negeri ini untuk terus memperkasakan ilmu dalam undang-undang perburuhan serta mengamalkan prinsip keadilan dan keterbukaan. Pekerja yang dihargai adalah pekerja yang lebih produktif dan setia,” katanya.
Beliau juga menyeru supaya budaya rundingan dan kolaborasi terus diperkasa di tempat kerja dengan menjadikan undang-undang sebagai jambatan ke arah hubungan kerja yang lebih sihat dan mapan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, kami komited untuk terus menyokong dan bekerjasama dengan JPP Pahang dalam apa jua dasar dan program yang memartabatkan keharmonian perusahaan di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

