Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 9 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memberi perhatian serius terhadap isu masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak, dengan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan dan program kesedaran secara berterusan bagi melindungi kesihatan rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan, masalah bantut berlaku apabila umur kanak-kanak meningkat tetapi tumbesaran fizikal mereka tidak selari dengan usia sebenar.

“Masalah bantut ini merupakan pertumbuhan kanak-kanak yang tidak selari dengan umur mereka dan masalah bantut ini berpunca daripada pemakanan yang kurang zat pada kanak-kanak tersebut.
“InsyaAllah kita juga ada menubuhkan jawatankuasa untuk masalah bantut ini bagi menerangkan dan membincangkan cara untuk mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

“Pesanan untuk ibu bapa, anak-anak adalah tanggungjawab kita dengan cara itu kita dapat melihat pembesaran anak kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa memastikan anak-anak mendapat imunisasi lengkap dan mengamalkan penyusuan susu ibu sekurang-kurangnya enam bulan, diteruskan sehingga dua tahun atau lebih.

“Saya menyeru kepada ibu bapa diluar sana sekiranya anak anda belum mendapat suntikan imunisasi, silalah buat sedemikian. Perkara ini penting untuk anak kita.
“Saya difahamkan oleh doktor tadi, dari hari kelahiran sehingga 6 bulan, sekiranya kita bagi anak kita susu yang tidak bercampur adalah lebih baik untuk anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Pahang dan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Daerah Kuantan, Pahang 2025 di Pentas Utama, Kuantan Parade.-PAHANGMEDIA

