Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 06 OGOS 2025 : Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang disalurkan dapat membantu meringankan beban penerima terutamanya pesakit kronik dalam menampung kos rawatan dan keperluan perubatan.
Penerima sumbangan, Anisah Sidek, 54, dari Taman Sungai Isap Perdana berkata, dia memohon bantuan sumbangan berkenaan untuk membiayai kos rawatan anaknya, Muhammad Hazim Hafifi Mat, 13 tahun, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak berusia satu tahun satu bulan.
Menurut Anisah, anaknya mula menunjukkan tanda-tanda sakit apabila badan menjadi sembap, sebelum disahkan menghidap penyakit buah pinggang oleh doktor selepas dua minggu menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

“Sumbangan ini untuk kos rawatan berulang ke hospital Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi membuat dialisis cuci darah dan beberapa perubatan lagi.
“Cuci darah tiga kali seminggu di HTAA. Sumbangan ini untuk kos berulang dan lepas itu dia perlu guna plaster khas kerana alergik. Duit untuk belanja dia.
“Terima kasih banyak-banyak atas sumbangan yang diberikan untuk anak saya. Memang saya memerlukan sangat duit untuk rawatan dia. Terima kasih banyak Kerajaan Negeri prihatin terhadap dia,” katanya.
Anisah juga memaklumkan bahawa sebelum ini anaknya menjalani rawatan cuci air dan beliau terpaksa menyediakan bilik khas di rumah demi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bersih untuk keselesaan anaknya.

Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Jerantut, Razak Daud turut melahirkan rasa syukur apabila menerima bantuan mewakili peneroka Felda Jengka 24, Aripin Muhammad, bagi pembelian kaki palsu melalui peruntukan khas Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah hari ini saya menjadi wakil pesakit memohon peruntukan Kerajaan Negeri untuk menampung pembelian kaki palsu. Alhamdulillah hari ini kita sudah dapatlah sumbangan itu.
“Jadi saya ingin mengucapkan bebanyak terima kasih kepada YAB. Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy. Inilah betapa prihatinnya YAB. Menteri Besar terhadap rakyat Negeri Pahang dan tidak mengecewakan.
“Jadi sekali lagi kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan YAB. Menteri Besar kita yang saban hari memberi bantuan kepada rakyat Pahang dan amat menjaga kepetingan rakyat Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

