Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 OGOS 2025 : Seramai 40 wakil penerima terdiri daripada pesakit kronik, badan kebajikan, pelbagai agensi dan institusi pendidikan menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM421,929.20 hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pemberian sumbangan berkenaan merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu dan menyokong usaha kebajikan serta pembangunan rakyat di negeri ini.
“Duit ini duit rakyat dan kita berbakti kepada rakyat. Dan saya harap ia akan menjadi satu kesenangan.. (ia juga membuktikan) bahawa kerajaan yang ada pada hari ini yang tuan-tuan dan puan-puan pilih membantu rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sentimen negatif yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan dasar dan pendekatan kerajaan negeri.
“Jadi jangan mudah terpedaya dengan persepsi atau sentimen mereka yang mengatakan kerajaan pada hari ini tidak Islamik, sekular, tidak berjuang menegakkan ajaran Islam dan sebagainya. Itu adalah permainan persepsi,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan penerima agar memanfaatkan sumbangan berkenaan sebaik mungkin mengikut keperluan masing-masing.-PAHANG MEDIA

