Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 6 OGOS 2025 : Kejayaan sektor pertanian Negeri Pahang mencatatkan nilai jualan mencecah RM25.12 bilion bagi tahun 2023 menjadi bukti kukuh bahawa ekonomi hijau berasaskan pertanian kekal sebagai teras kekuatan negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian luar biasa itu mencerminkan daya tahan dan daya saing sektor pertanian yang terus berkembang pesat dan menyumbang besar kepada pembangunan negeri.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa ekonomi hijau berasaskan pertanian masih menjadi antara teras kekuatan negeri, selari dengan matlamat Aspirasi Pahang 1st dan gagasan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang (PET30) yang menekankan pembangunan mapan, berdaya saing dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pencapaian ini turut mengekalkan Pahang sebagai antara pemain utama sektor pertanian negara, hasil kerjasama erat antara petani, penternak, nelayan, usahawan tani serta jabatan dan agensi yang terlibat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja sektor pertanian di negeri ini atas dedikasi dan komitmen mereka yang membuahkan hasil yang membanggakan.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pahang atas pelaksanaan Banci Pertanian 2024 dan penghasilan laporan interim yang akan menjadi rujukan penting dalam merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan untuk masa depan sektor ini.
“Kejayaan subsektor tanaman seperti kelapa sawit, durian dan sayur-sayuran, serta pertumbuhan dalam subsektor ternakan dan akuakultur, membuktikan bahawa sektor pertanian Pahang bukan sahaja kukuh, malah bersedia mendepani cabaran semasa dan masa depan,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memberi sokongan kepada pemodenan pertanian, memperkukuh rantaian keterjaminan makanan serta memperkasa teknologi dan kebajikan pemain industri.
“InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dan sokongan kepada usaha memperkukuh rantaian keterjaminan makanan, pemodenan pertanian, pemerkasaan teknologi dan pembelaan nasib pemain industri di setiap peringkat.
“Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada semua yang telah menjayakan pencapaian ini. Teruskan kecemerlangan, demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

