Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 30 JULAI 2025 : Projek menaik taraf Klinik Kesihatan Jaya Gading kini mencatat kemajuan 59 peratus melebihi jadual asal iaitu 55 peratus dan dijangka beroperasi pada November ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, projek menaik taraf dijangka siap sepenuhnya dan dapat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada November 2025.
“Kemajuan untuk kerja-kerja sivil dah 59 peratus, awal daripada jadual. Kalau ikut jadual 55 peratus, tapi sebenarnya di tapak dah 59 peratus.
“Untuk kerja-kerja sivil siap pada 29 September 2025 manakala mekanikal dan elektrik pada 23 Oktober 2025 dan jangka bangunan boleh diserahkan pada pihak kementerian (KKM) pada awal November.
“Dia ada beberapa unit yang terlibat menaik taraf. Pertama, Unit Ibu dan Anak, Unit Pesakit Luar dan Klinik Pergigian,” katanya.

Menurut beliau, kos keseluruhan bagi kerja-kerja menaik taraf Klinik Kesihatan Jaya Gading dianggarkan melebihi RM1 juta.
“Kos keseluruhan lebih kurang RM1 juta untuk projek ini. Secara keseluruhan kos untuk kerja-kerja sivil atau kerja-kerja awam ini melibatkan bangunan RM 560,000 manakala kerja-kerja mekanikal dan elektrikal lebih kurang RM 400,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja di Klinik Kesihatan Jaya Gading sempena program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa operasi klinik melibatkan unit penting sahaja manakala perkhidmatan lain dipindahkan ke klinik berhampiran sepanjang tempoh renovasi.
“Operasi berjalan, cuma makmal dan farmasi kekal disini. Manakala unit yang lain, contohnya pesakit luar, berada di Klinik Kesihatan Kurnia dan Klinik Kesihatan Paya Besar dan Unit Ibu dan Anak-Anak di Klinik Desa Felda Sungai Panching Selatan dan juga Klinik Desa Felda Sungai Panching Timur,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Klinik Kesihatan Jaya Gading menerima kira-kira 450 pesakit, dengan jumlah populasi di kawasan Jaya Gading dianggarkan seramai 82,000 orang. -PAHANGMEDIA

