Oleh : Syaherah Azmi & Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JULAI 2025 : Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang bermula hari ini di daerah ini dilihat berjaya menyelesaikan beberapa isu utama yang dibangkitkan di Kampung Seri Mahkota, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Mahkota, Encik Noor Azhar Ahmad Jaafar mewakili JPKK dan masyarakat kampung merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan kecaknaan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang turun padang menerusi program itu hari ini.

Antara isu yang mendapat penyelesaiannya pada hari ini termasuklah berkaitan pembinaan jalan baharu bagi kemudahan penduduk yang sebelum ini dikatakan mendatangkan risiko terutamanya pengguna dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mahkota.
“Jalan sebelum ini terlalu sempit, jadi kita buat alternatif jalan baharu. Yang keduanya, sistem paip yang melebihi 40 tahun jadi kita mohon penukaran baharu dan akan diberi keutamaan. Begitu juga dengan beberapa isu lain,” katanya ketika ditemui selepas usai Jelajah Aspirasi Pahang 1st di kampung berkenaan hari ini.
Selain YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, turut hadir mengikuti jelajah berkenaan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan barisan pimpinan setempat.

Encik Noor Azhar turut memuji pendekatan YAB Menteri Besar Pahang yang mengutamakan tindakan berbanding janji, selaras dengan slogan ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’ yang digunakan dalam pentadbirannya selain Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) yang dilihat membela masyarakat khususnya penduduk kampung tradisi.
“Itu merupakan sesuatu yang terkesan di hati kita di mana inisiatif yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat contohnya kad kesihatan dan pelbagai lagi.. masjid dan pondok (Tahfiz) yang sebelum ini tidak pernah dapat (bantuan) pun.
“Semoga kepimpinan yang ada ini dapat kita kekalkan terus untuk menerajui Negeri Pahang dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

