Oleh: Norhafizan Zulkifli & Syaherah Azmi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Program Mini MAHA Pahang 2025 pada 14 Ogos hingga 17 Ogos ini bertempat di Dataran Temerloh.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Program ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara dengan penglibatan 100 usahawan serta sasaran nilai jualan sebanyak RM1.2 juta.
“Ini adalah rentetan MAHA peringkat kebangsaan di mana saya dapati (sambutan) cukup menggalakkan dan banyak memberi faedah dan manfaat kepada orang ramai terutama mereka yang datang dan berminat dengan keusahawanan pertanian.
“Jadi saya telah minta YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, untuk memikir dan beliau telah mencadangkan supaya diadakan mini MAHA. Jadi InsyaAllah Mini MAHA ini akan diadakan di Dataran Temerloh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan selepas menghadiri Program Moh Kendurian 3.0 Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Pengerusi Jemaah Pengarah PASFA Dato’ Haji Zamri Yaakob dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, program berkenaan dijangka akan memberikan impak ekonomi secara langsung kepada para usahawan tani, vendor makanan, penggiat industri asas tani serta sektor pelancongan tempatan.
“Pada tahun ini dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan di bawah Kementeria Pertamian dan Keterjaminan Makanan di Negeri Pahang.
“Jadi Kerajaan Negeri berpendapat bahawa Mini MAHA ini merupakan satu platform yang sangat strategik untuk kita menengahkan sektor agro-makanan di Pahang. Termasuklah perkembangan terkini dari segi teknologi dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Dan juga kita boleh mempromosikan produk-produk usahawan tempatan sebagai inisiatif kerajaan dalam memperkukuhkan jaminan makanan di Negeri Pahang,” ujarnya.
Selain itu, katanya, antara matlamat lain penganjuran program berkenaan adalah untuk memperkenalkan kepada golongan sasar tentang pemberdayaan teknologi dan inovasi terkini dalam sektor pertanian, pemakanan dan perikanan.
“Yang kedua ialah untuk mengukuhkan jaringan antara pemain industri dengan mempertingkatkan kerjasama antara petani, peladang, penternak, nelayan, usahawan, serta agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi pendidikan.
“Objektif yang ketiga ialah untuk memberi pendedahan dan menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian dengan menampilkan pertanian sebagai satu industri moden dan berteknologi tinggi,” katanya lagi.
Mini MAHA berkenaan juga dijangka akan melibatkan 60 acara yang akan diadakan sepanjang empat hari penganjuran tersebut dan melibatkan 30 jabatan dan agensi. -PAHANGMEDIA

